Monday, October 1, 2012

Hubungan Etnik : Dasar-Dasar Pembangunan Ekonomi Negara serta Pencapaiannya


DASAR PEMBANGUNAN NASIONAL (1991-2000)
Dasar Pembangunan Nasional (DPN) ialah Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) yang pernah dilaksanakan dalam ekonomi Malaysia. Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang meliputi tempoh 1971 hingga 1990 telah tamat. Dalam tempoh pelaksanaan DEB, ekonomi Malaysia telah berkembang dengan pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sesuatu yang tidak boleh disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh, namun banyak kejayaan telah dicapai. Bagi menyambung dan memperkukuhkan hasrat ekonomi rakyat, maka satu dasar baru dikenali sebagai Dasar Pembangunan Nasional (DPN) bagi tempoh 1990 hingga 2000 telah dibentuk. Pembentukan dasar baru ini menandakan bermulanya Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP 2). Dasar ini telah dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia keempat Tun Dr. Mahatir Mohamad.
Objektif
Perpaduan negara akan terus menjadi matlamat terakhir DPN kerana masyarakat yang bersatu padu penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan politik serta mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan dan kecemerlangan ekonomi.
Matlamat dan Strategi Pembangunan
Matlamat DPN adalah untuk mencapai pembangunan yang seimbang bagi mewujudkan masyarakat yang lebih bersatu padu dan adil. Bagi strategi pelaksanaan pula, DPN akan terus mengekalkan strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan ini akan menyumbang ke arah perpaduan negara. Berikut merupakan aspek-aspek strategi pelaksanaan:

I.              Mewujudkan keseimbangan yang optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama.
II.            Memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan pertumbuhan.
III.           Mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan saksama faedah yang diperolehi daripada pertumbuhan secara adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia.
IV.          Menggalak dan memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar bandar.
V.           Membangunkan sebuah masyarakat yang progresif di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara.
VI.          Memajukan sumber manusia dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisiplin dan produktif serta meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula masyarakat.
VII.         Menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras penting dalam perancangan dan pembangunan sosio ekonomi yang memerlukan usaha membangunkan keupayaan dan kebolehan dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden.
VIII.       Memastikan bahawa dengan usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi dalam jangka panjang negara dapat dikekalkan secara berterusan.

Dimensi baru DPN adalah seperti berikut:
I.              Memberi penekanan yang lebih kepada strategi pembasmian kemiskinan untuk tujuan menghapuskan kemiskinan dalam kalangan golongan termiskin (hardcore poor) di samping mengurangkan kemiskinan relatif. Golongan termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan Garis Kemiskinan adalah sebanyak RM 370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, RM544 bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan RM 452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak. Kira-kira 143, 000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong sebagai keluarga termiskin.
II.            Menumpukan perhatian kepada pembangunan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) sebagai satu strategi penting ke arah meningkatkan dan seterusnya mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi.
III.           Meningkatkan penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan semula masyarakat.
IV.          Memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan pengagihan yang saksama.








Program pelaksanaan
Kerajaan telah melaksanakan dasar ini dengan membuat perancangan dan melaksanakan perancangan tersebut. Antara program yang dilaksanakan ialah penyusunan semula masyarakat dan pembasmian kemiskinan iaitu bermula sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB),  pelaksanaan Dasar Wawasan 2020, penggalakan dalam persaingan dalam pasaran antarabangsa dan juga memastikan hasil pencapaian yang berkualiti dan berkekalan. Kesemua program ini terarah kepada pencapaian matlamat dan strategi dalam dasar ini.




Kesan dan pencapaian DPN
Beberapa perubahan kepada kemajuan ekonomi dan juga perubahan taraf hidup etnik dapat dikesan apabila DPN dilancarkan. Walau bagaimanapun, perlu diingat perubahan ini merupakan kesinambungan daripada perubahan-perubahan dan penambahbaikan daripada pelaksanaan DEB yang masih mempunyai daya penggerak kepada ekonomi negara. Kesan-kesan positif yang telah dicapai sepanjang tempoh pelaksanaan DPN dapat dilihat daripada beberapa aspek.
Pengangguran merupakan keadaan apabila sebahagian dari tenaga buruh yang ingin bekerja pada kadar upah yang tertentu di pasaran tetapi tidak mendapat sebarang pekerjaan (Jomo & Ishak, 2003). Dari segi pengangguran, didapati peratusnya secara drastik telah menurun daripada 5.1% pada tahun 1990 kepada 2.5% pada tahun 1996. Malah jumlah mutlak yang menganggur juga berkurangan daripada 360,000 kepada 223,000 dalam tempoh 1990 sehingga jika dibandingkan antara tahun 1995 dengan tahun 2000, didapati terdapat peningkatan peratus dan jumlah mutlaknya kesan daripada kegawatan ekonomi yang melanda pada tahun 1997 sehingga 1999. Jadual 1 menunjukkan guna tenaga dan pengangguran di Malaysia.

Jadual 1: Guna Tenaga dan Pengangguran di Malaysia pada Tahun 1990, 1995 dan 2000
Aspek/Tahun
1990
1995
2000
Tenaga buruh
7042
8140
9572
Guna tenaga
6686
7915
9271
Pengangguran
356
225
301
Peratusan Pengangguran (%)
5.1
2.8
3.1
Sumber: Malaysia, Kajian Separuh Penggal RMK6 (1993) Malaysia, Rancangan Malaysia (1996)
Malaysia, RRJP3 (2001)


 

Peratus kemiskinan Malaysia terus menurun daripada 17.1 % pada tahun 1990 kepada 9.6% pada tahun 1995. Seterusnya kemiskinan yang berlaku diluar bandar dan di bandar dilaporkan berkurangan pada tahap yang memuaskan. Kadar kemiskinan golongan termiskin yang menjadi aspek penting DPN juga terus menurun daripada 4% kepada 2.2% pada tempoh yang sama. Begitu juga kadar kemiskinan golongan termiskin di luar bandar dan bandar nyata semakin berkurangan. Pengurangan kadar kemiskinan ini jelas sekali berlaku kepada masyarakat yang tinggal di bandar dan luar bandar. Pelaksanaan dasar ini sesungguhnya memastikan penduduk yang tinggal di luar bandar dan bandar bersama-sama menikmati pembangunan ekonomi.
Selanjutnya ialah dari aspek peningkatan penyertaan guna tenaga dalam bidang moden seperti pembuatan dan kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan. Kadar pertumbuhan tahunan purata penyerapannya pada sektor pembuatan ialah 9.0% bagi tempoh 1991 hingga 1995 dan 4.8% bagi tempoh 1996 hingga 2000. Sektor kecil kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan penyerapannya berkembang pada kadar 8.0% dalam tempoh tersebut dan 6.4% dalam tempoh 1996 hingga 2000. Sesungguhnya sumbangan daripada penglibatan dalam sektor pembuatan dan sektor kewangan, insurans, hartanah dan khidmat perniagaan dalam penyerapan tenaga buruh juga telah meningkat masing-masing daripada 19.9% kepada 27.6% dan daripada 3.9% kepada 5.5% dalam tempoh antara 1990 dan 2000.
Seterusnya ialah dari aspek peningkatan taraf kehidupan rakyat bertambah terjamin, khususnya bagi rakyat yang tinggal di luar bandar. Hal ini kerana berlakunya peningkatan dalam kemudahan-kemudahan asas yang dibina dan ditawarkan kepada masyarakat terutamanya penduduk luar bandar yang sebelum ini kekurangan kemudahan asas berbanding penduduk yang tinggal di bandar. Penambahan kemudahan termasuklah dalam pertambahan bilangan hospital, klinik, doktor dan jururawat. Dalam jangka masa setahun dalam tempoh pelaksanaan DPN, beberapa buah hospital dan klinik kerajaan telah dibuka. Misalnya bagi tahun 1995 sahaja, kemudahan hospital kerajaan adalah sebanyak 118 buah, 2 861 bagi klinik kerajaan, seramai 9505 doktor berdaftar dan bilangan jururawat 32 401. Seterusnya kemudahan bekalan air dan elektrik di luar bandar terus bertambah dalam usaha untuk mencapai sasaran membekalkan air dan elektrik kepada seluruh rakyat Malaysia. Secara keseluruhannya, 87% daripada isi rumah luar bandar di Malaysia telah menerima bekalan paip air pada tahun 2000 berbanding dengan 66% pada tahun 1990. Manakala bagi bekalan elektrik pula, liputannya di luar bandar telah meningkat daripada 80% kepada 93% pada tempoh tersebut.
Dari aspek penyusunan semula pengurusan dan guna tenaga keseluruhannya didapati penglibatan Bumiputera terus kekal secara puratanya pada kadar 52% hingga 53% pada tempoh 1990 hingga 2000. Walaupun peningkatannya hanya bertambah 1% sahaja, namun hal ini tetap memberi sumbangan dalam peningkatan ekonomi kaum Bumiputera dan menunjukkan kaum Bumiputera mula melibatkan diri secara perlahan-lahan dalam bidang ini. Dalam bidang pembuatan pula, bahagian Bumiputera telah meningkat daripada 46.2% kepada 49.1%, manakala dalam bidang pembinaan pula menunjukkan peningkatan daripada 34.9% kepada 37.4%. Bagi bidang perniagaan borong, runcit, hotel dan restoran meningkat daripada 34.5% kepada 38.3%, kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan telah meningkat daripada 41.1% kepada 45.3% pada tempoh yang sama. Seterusnya ialah bagi keahlian Bumiputera dalam bidang profesional berdaftar juga telah meningkat daripada 21% pada tahun 1990 kepada 29% pada tahun 1999.

Secara keseluruhannya, melalui DPN kerajaan telah melancarkan pembangunan ekonomi kepada penduduk luar bandar dan penduduk bandar. Merujuk kepada aspek-aspek yang telah mencapai peningkatan yang memberangsangkan, jurang perbezaan antara penduduk di luar bandar dan bandar telah dapat dirapatkan. Seperti yang kita ketahui penduduk luar bandar ini biasanya terdiri daripada kaum Melayu dan entik-etnik Bumiputera. Manakala bagi penduduk di bandar pula terdiri daripada kaum Cina dan lain-lain. Taraf hidup dan pendapatan di bandar sesungguhnya lebih baik dan lebih tinggi berbanding penduduk luar bandar. Oleh itu, usaha kerajaan bagi merapatkan jurang perbezaan di antara penduduk seharusnya disokong penuh oleh masyarakat.
Pengurangan jurang perbezaan antara kawasan dan etnik sesungguhnya dapat mewujudkan keharmonian masyarakat kerana mereka tidak rasa diabaikan atau tidak diberi perhatian dalam usaha kerajaan untuk memajukan ekonomi negara khususnya. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Peristiwa 13 Mei 1969 telah berlaku disebabkan oleh ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum. Kemakmuran ekonomi merupakan unsur yang penting dalam mencapai pembangunan negara dan memastikan keadaan negara sentiasa dalam suasana yang aman dan harmoni. Sebagai rakyat Malaysia, semua orang tanpa mengira perbezaan etnik atau latar belakang mendapat hak yang sama rata. Sehubungan itu, pelaksanaan dasar ini sesungguhnya dapat menunjukkan kerajaan telah memberikan keutamaan kepada hak-hak mendapat peluang pembangunan ekonomi yang sama rata dan adil kepada semua masyarakat.






DASAR AUTOMATIF NEGARA
Sektor automatif merupakan industri penting kepada ekonomi Malaysia. Sumbangan sektor  ini kepada ekonomi negara adalah besar, serta berkait rapat dengan sektor pembuatan dan perkhidmatan. Sektor automotif bermula dengan pengimportan kenderaan yang kemudiannya berkembang kepada operasi pemasangan serta pembangunan industri komponen automotif. Penubuhan Proton pada tahun 1985 diikuti dengan Perodua pada tahun 1993 bertindak sebagai pemangkin kepada perkembangan sektor automotif. Ini turut menyebabkan perkembangan industri komponen automotif yang seiring. Ini menandakan bermulanya fasa baru bagi sektor automotif Malaysia di mana teknologi dan kemampuan tempatan dibangunkan sejajar dengan Pelan Induk Industri Kerajaan. Dalam konteks ini, Malaysia berbangga menjadi satu-satunya negara membangun di dunia yang memiliki kemampuan rekabentuk automotif dan kejuruteraannya sendiri.
Memandangkan wujudnya cabaran-cabaran yang mendepani industri automotif, terutamanya globalisasi, liberalisasi dan persaingan yang meningkat, adalah perlu untuk hala tuju strategik dan rangka dasar untuk sektor automotif tempatan dikaji semula. Ini adalah penting untuk mengekalkan daya saing pihak-pihak yang terbabit dalam sektor automotif, supaya mereka kekal berdaya maju dalam jangka panjang. Bagi tujuan itu, Kerajaan akan mengekalkan langkah-langkah yang difikirkan perlu, dan seterusnya, memperkenalkan langkah-langkah baru bagi menggantikan langkah-langkah sedia ada yang tidak lagi bertepatan dengan kepentingan nasional, agar langkah-langkah tersebut dapat terus merangsang pembangunan dan kemajuan sektor automotif. Kerajaan komited untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk sektor automotif berkembang pesat dan menjadi sektor bertaraf dunia.
Objektif Rangka Dasar Automotif Negara
Untuk merangsang perkembangan sektor automotif negara seterusnya, pembangunan sektor automotif Malaysia akan berteraskan kepada lima objektif utama iaitu:
I.              Menggalakkan sektor automotif yang kompetitif dan berdaya maju, terutamanya membuat kereta nasional.
II.            Membangunkan Malaysia sebagai pusat atau hab automotif serantau dalam bidang-bidang khusus.
III.           Menggalakkan peningkatan nilai ditambah secara mapan serta pembinaan keupayaan tempatan.
IV.          Menggalakkan peningkatan tahap eksport kenderaan dan komponen yang kompetitif di pasaran dunia.
V.           Menggalakkan penyertaan Bumiputera yang kompetitif dan menyeluruh di dalam sektor automotif tempatan.
VI.          Menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan berkualiti pada harga yang berpatutan.
Teras Dasar Automotif Negara
 
Langkah-langkah untuk Pelaksanaan Serta Merta
Bagi mencapai objektif-objektif dasar ini, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
I.              Memperkenalkan dana pelarasan industri
II.            Pemberian insentif kepada syarikat pembuat komponen.
-       Projek kerjasama
-       Sokongan terhadap Program Bekalan Global
III.           Mewujudkan geran-geran latihan.
IV.          Mewujudkan geran Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).
V.           Menetapkan pusat-pusat pengeluaran bagi sektor automotif.
VI.          Memastikan pematuhan standard dan teknikal.
VII.         Memperluas dana perolehan teknologi.
VIII.       Mewujudkan geran pembangunan pasaran.
IX.          Mewujudkan insentif khas.
X.           Pindaan terhadap Lesen Import (AP).
-       Membekukan pengeluaran AP francais untuk pengimportan kereta berjenama baru
-       Menghentikan pengeluaran AP francais untuk pengimportan kenderaan “turned up” bermula 1 Januari 2006.
-       Membenarkan Syarikat Awam Berhad kawalan Bumiputera untuk memohon AP secara langsung.
-       Mengehadkan pengimportan kenderaan terpakai melalui AP terbuka kepada kenderaan berusia satu hingga lima tahun sahaja.










Kesan Dasar Automotif Negara
Jika dilihat daripada pencapaian ekonomi bagi setiap kaum atau etnik, kaum Bumiputera masih lagi ketinggalan berbanding kaum yang lain seperti kaum Cina yang sememangnya terkenal dengan taraf ekonomi yang lebih baik. Sekiranya kita melakukan tinjauan terhadap bangunan-bangunan persendirian atau syarikat-syarikat yang didirikan juga, kebanyakan pemiliknya ialah golongan ahli perniagaan dan perusahaan orang Cina. Mereka biasanya lebih maju ke hadapan berbanding dengan golongan Bumiputera. Oleh sebab itulah bagi merapatkan jurang pendapatan dan ekonomi setiap etnik, kerajaan telah memberi peluang kepada kaum Bumiputera untuk bergiat aktif kepada setiap sektor ekonomi melalui pemberian kelonggaran dan bantuan. Dasar Automatif Negara juga merupakan satu saluran kerajaan dalam usaha membantu setiap etnik di negara ini untuk memajukan diri, masyarakat dan negara.
Dasar Automotif Negara telah menyatakan keinginan untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam sektor automotif. Seperti yang kita sudah maklum, penglibatan negara kita dalam industri ini masih baru iaitu bermula dalam era pentadbiran bekas Perdana Menteri keempat iaitu Tun Dr. Mahatir Mohammad. Melalui dasar ini, diharapkan golongan Bumiputera berkecimpung dalam bidang ini bagi meningkatkan taraf ekonomi mereka seterusnya dapat mengurangkan jurang ekonomi yang ternyata masih ketara selepas pelaksanaan dasar-dasar pembangunan sejak negara ini mendapat kemerdekaan.
 Dasar ini masih lagi baru dan kesan pembangunan ekonomi khususnya belum dapat dikaji dengan lebih lanjut. Walau bagaimanapun, kita dapat mengandaikan bahawa penglibatan golongan Bumiputera dalam sektor automotif cukup menggalakan. Hal ini kerana, PROTON telah mewujudkan sejumlah rangkaian perkhidmatan yang menyokongnya. Dilaporkan bahawa terdapat 24 pemegang francais dan 350 pembuat komponen kenderaan. Menurut catatan rekod, lebih kurang 250 syarikat vendor diwujudkan melalui PROTON.
Kewujudan rangkaian perkhidmatan ini menunjukkan indikator yang positif terhadap permintaan dan seterusnya pengeluaran kereta proton. Hal ini kerana, pertambahan permintaan kenderaan ini hasil daripada pengguna puas hati terhadap kualiti produk bersesuaian dengan harga yang ditawarkan. Selain daripada itu, PROTON sendiri telah melaburkan hampir RM8 bilion dalam pasaran tempatan dan menggajikan seramai 9, 500 orang. Dianggarkan sebanyak 100, 000 peluang pekerjaan telah diwujudkan oleh PROTON termasuk vendor, pekerja luar negara dan mereka yang bekerja di sektor industri sampingan.
Peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh PROTON ini sesungguhnya dapat mengurangkan kadar pengangguran seterusnya dapat memberi nafas baru kepada mereka yang sedang berusaha untuk mencari pekerjaan. Selain daripada itu, melalui penglibatan dalam bidang ini juga, para pekerja akan mendapat kemahiran baru dari aspek mekanikal dan tidak mustahil pada suatu hari nanti akan terhasil produk PROTON, khususnya yang lebih mantap dan berinovasi. Oleh yang demikian, dapat dikatakan bahawa sektor industri automotif negara telah menjadi wadah kepada penglibatan golongan Bumiputera yang lebih luas dalam sektor industri.











DASAR PERTANIAN NEGARA
Pertanian merupakan sektor ekonomi yang menjadi kepada pemangkin kemajuan ekonomi negara sejak daripada sebelum zaman penjajahan lagi. Mengikut peredaran zaman, sektor pertanian juga turut mengalami perubahan dan disesuaikan mengikut keperluan negara. Banyak langkah-langkah dan program yang telah diambil oleh kerajaan bagi mempertingkatkan pengeluaran hasil daripada sektor pertanian ini yang kemudiannya dirangkumkan menjadi satu dasar iaitu Dasar Pertanian Negara. Dasar ini sentiasa diperbaharui atau diubahsuai terutama setelah tahap pencapaian pertanian diukur pada setiap kali berakhirnya dasar pertanian sebelum ini. Dasar Pertanian Negara bermatlamatkan empat aspek utama iaitu merombak semua pekebun kecil supaya lebih efisien dan bercorak komersil, penekanan kepada tanaman yang berdaya maju dan berupaya bersaing di pasaran antarabangsa, peningkatan produktiviti buruh bagi meningkatkan prestasi pertanian dan industri pemprosesan hiliran dan pemasaran keluaran pertanian telah dikenal pasti sebagai satu aspek penting dalam pembangunan sektor pertanian.
Adalah jelas bahawa dalam proses transformasi ekonomi, sektor pertanian akan terus mengalami penurunan dari segi sumbangan kepada KDNK, guna tenaga dan mengalami penurunan dari segi pertumbuhan nilai ditambah dan nilai ditambah per pekerja. Oleh sebab itulah kajian semula terhadap dasar ini dilakukan dan kemudiannya diperbaharui dan dikenali sebagai Dasar Pertanian Negara Kedua (DPN2). Kemudian selepas beberapa tahap setelah penilaian dilaksanakan terhadap keberkesanan DPN2, kelemahan dan kekurangan masih wujud menyebabkan pihak bertanggungjawab mengambil langkah untuk memperbaiki, menstrukturkan semula dan seterusnya membentuk Dasar Pertanian ketiga (DPN3) sepanjang tempoh 1998 hingga 2010. Terdapat banyak penambahbaikan yang telah dibuat dan dilaksanakan pada dasar yang telah diberi nafas baru ini.
Selain daripada itu, DPN3 juga digubal untuk menangani krisis mata wang dan kemerosotan ekonomi yang dihadapi Malaysia pada masa itu. Di samping itu, keperluan penambahbaikan dasar ini juga disebabkan oleh faktor-faktor seperti mengatasi masalah bekalan makanan yang kurang mencukupi, kurang selamat, kurang berkhasiat serta kurang bermutu tinggi dan untuk menjamin bahan makanan dapat diperoleh dengan harga yang berpatutan.
Pendekatan dalam Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3)
Pendekatan perhutani memberikan penekanan yang menyeluruh kepada masalah kekurangan sumber-sumber seperti buruh, tanah pertanian dan sumber air untuk pengairan tanaman. Pendekatan ini menggabungkan dua kegiatan iaitu kegiatan pertanian dan kegiatan perhutanan supaya serasi dan saling melengkapi antara satu sama lain. Strategi ini menggunakan teknik yang bersepadu untuk mengatasi masalah kekurangan sumber dengan menggabungkan tanaman, perikanan dan penternakan serta dilengkapi dengan aktiviti agro-pelancongan. Melalui kaedah ini juga, kos pengendalian untuk mengendalikan aktiviti sektor ini dapat dikurangkan.
Pendekatan berasaskan produk adalah untuk meningkatkan sumbangan dan pendapatan sektor pertanian di Malaysia. Pada awal pendekatan ini, produk dan pasaran utama dikenal pasti berdasarkan permintaan, potensi pasaran, dan cita rasa pengguna. Pendekatan ini dapat memberikan penekanan yang lebih kepada keperluan dan cita rasa pengguna serta pasaran khususnya di seluruh dunia. Pendekatan ini juga mengambil kira permintaan, keperluan pengguna dan daya pasaran bagi menggubal strategi pengeluaran pertanian huluan supaya setanding dengan industri lain. Pedekatan ini sesungguhnya telah mewujudkan peluang kepada usahawan pertanian untuk menambahkan pengeluaran dan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian.


Kesan Dasar Pertanian Negara
Secara keseluruhannya, melalui pelaksanaan dasar ini ia akan menjamin kelangsungan bahan makanan yang sememangnya diperlukan oleh setiap manusia. Sebagai sebuah negara yang terletak di garisan khatulistiwa yang menerima hujan sepanjang tahun dan mempunyai cuaca yang sesuai untuk pertanian, tanaman-tanaman pertanian dapat tumbuh dengan subur dan seterusnya dapat menyokong kepada kegiatan pertanian negara. Selain daripada membekalkan keperluan makanan dalam negara, lebihan pertanian juga boleh dieksport di luar negara bagi kegiatan perdagangan atau lebih dikenali sebagai eksport hasil pertanian. Selain daripada mendapat kelangsungan bekalan makanan, hasil eksport juga menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.
Selain daripada itu, dasar ini juga berjaya mengurangkan inflasi dalam bidang ekonomi, amnya. Hal ini kerana kerajaan tidak bergantung sepenuhnya kepada kegiatan ekonomi yang lain seperti perindustrian dan pembinaan serta sektor perkhidmatan. Salah satu strategi yang digunakan dalam dasar ini ialah menarik pelabur swasta dalam sektor pertanian khususnya bagi pertanian komersial yang mana memerlukan modal yang tinggi. Perkara ini dapat mengurangkan beban kerajaan dalam aspek pengurusan bidang pertanian. Selain itu penglibatan pihak swasta juga akan dapat meningkatkan produktiviti dan mutu hasil pertanian.
Berkenaan dengan hubungan etnik pula, salah satu kesan penjajahan British ialah kesan dasar pecah dan perintah. Dasar ini membentuk pengenalan kaum mengikut kegiatan ekonomi pada masa itu dan sehingga kini kesan dasar ini tidak dapat dihapuskan dan menyebabkan golongan Bumiputera masih lagi meneruskan kegiatan pertanian sebagai sumber ekonomi yang utama. Kaum-kaum yang lain telah meningkatkan taraf kehidupan sosioekonomi masing-masing dengan melibatkan diri dengan kegiatan ekonomi yang lain seperti perdagangan, perindustrian dan juga sektor perkhidmatan.
Oleh itu, pelaksanaan dasar ini secara tidak langsung dapat membantu kaum Bumiputera untuk lebih maju dan pada akhirnya dapat memperbaiki taraf kehidupan mereka khususnya berkenaan dengan sosioekonomi. Banyak bantuan yang disalurkan oleh kerajaan melalui badan yang berkenaan untuk meringankan beban seterusnya menggalakkan pengusaha atau pekebun kecil untuk meningkatkan usaha mencapai matlamat mereka sendiri. Antara bantuan yang disalurkan oleh kerajaan ialah pemberian subsidi yang mana akan meringankan beban modal pertanian oleh para pengusaha pertanian atau petani.
Secara keseluruhannya, melalui dasar pertanian juga kerajaan dapat meningkatkan ekonomi negara dan secara langsung akan dapat memperbaiki taraf hidup pengusaha pertanian yang biasanya terdiri daripada penduduk luar bandar. Jurang perbezaan antara penduduk bandar dan luar bandar akan dapat dikurangkan dan seterusnya boleh menyumbang kepada kemakmuran ekonomi, politik dan sosial dalam negara.

No comments:

Post a Comment